Blogger Layouts

letak jejak (:

Tekan sini kalau anda sedang menerjah blog niy

::~t3ngok-t3ngok~::

Saturday, October 22, 2011

CERPEN : Bapa Pukul Anak Sebab Anak Nak Pakai Tudung [ bace dulu tau ] ;)

Aku mengeliat sepuas puasnya. Nasib baik takder siapa nampak cara aku mengeliat. Mahu jatuh saham aku huhu.


Tiba tiba aku teringat kisah semalam. Airmata terus berlinang. Terasa amat sayu dan sedih. Salah ke kalau aku nak pakai tudung? Naper abah tak benarkan? Buat pengetahuan korang, bapak aku ni jenis orang yang sibuk giler. Businessman yang sentiasa sibuk. Mak aku dah takder. Meninggal dunia lama dah. Sedih sangat sangat.


Dari jendela, kelihatan cahaya matahari mula menjeluskan diri ke celah celah langsir tingkap. Jam dah 11:00 pagi. Perut lapar.


Aku bangun capai tuala, masuk bilek mandi.


Lepas mandi, aku belek belek tubuhku pada cermin. Alangkah lebih cantik kalau aku bertudung. Aku nekad! Aku akan protes habis habisan kalau bapa aku tak nak juga bagi pakai tudung. Aku sanggup lari dari rumah. Demi kebaikan yang aku pilih. Lantak la dengan ahli keluarga aku yang lain lain. Semuanya tak nak pakai tudung! Tapi aku nak!!!!


Aku turun ke bawah. Baru jea nak buka tudung saji atas meja, terdengar bunyi kereta masuk garaj. Aku jenguk melalui tingkap dan nampak bapa aku balik. Aikkkk, apahal bapa balik awal ni???


Dalam masa yang sama, aku rasa inilah masa yang terbaik untuk desak bapa aku benarkan aku pakai tudung. Now or never!


Bila bapa aku buka jea pintu, aku bersalam dengannya dan tanpa lengahkan masa, aku kata, ""Daddy, cheq nak pakai tudung. Cheq nak!"


Bapak aku terus jegil sebesar besarnya. Macam ada api keluar! Pangggggggggggggggg ggg. Bapa aku hayun penampar ke muka aku! Tersepok aku di celah set sofa.


"Aduhhhhhhhhhhhhhhh hhhh....sampai hati daddy! Cheq tau la daddy rasa malu kalau cheq pakai tudung. Salah ke kalau cheq nak tutup aurat cheq? Kalau adik dan abg tak nak...."

Pangggggggggggggggg gggg....! Aku labuh pelempang ke muka aku sekali lagi sebelum aku abis bercakap.


"Hang jangan nak bagi aku malu naaaa! Hang jangan nak buat pasai! Hang nak pakai tudung buat apa??? Dah 100 kali aku habaq, LELAKI TAK PAYAH PAKAI TUDUNG, LELAKI TAK PAYAH PAKAI TUDUNG!!! Tu la, bila time kelas agama, hang ponteng! Nama hang aku boh "Razali", tup tup lekat jadi ZAZA sahaja! Memang la dalam rumah ni semuanya tak bertudung sebab adik hang tu lelaki! Abang hang pun lelaki jugak!".


Aku yang tersepuk celah sofa, terus menangis terkedu kedu. Dah la sakit kena tampar, kena pelempang. Tudung pun tak dapat jugak.


SALAH KAH AKU? SALAH KAH AKUUUUUUUU! OOOOO tidakkkkkkkkkkkkk!

CERPEN : Kisah Budak Penjual Kuih

Selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.


"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.


Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.


Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.


"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.


Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"


Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.


Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.


"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.


Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.


"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.


Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.


"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.


"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.


"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.


Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.


"Abang nak beli semua ke?" Dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.


"RM25 saja bang."


Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.


Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.


Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!

Sunday, October 16, 2011

CERPEN : Sungguh Merdu Suara Mu Sayang :'D

Atikah sudah bersiap-siap. Gincu berwarna merah muda dicalitkan di bibirnya yang mulus itu. Dia merenung sekilas ke arah cermin yang berada di sisinya. Dia tersenyum puas. Puas kerana penampilannya pada hari itu sudah cukup sempurna pada pandangannya. Rambut yang telah siap didandan di salon pagi tadi dibetulkan sedikit. Parasnya yang sudah sememangnya cantik itu semakin berseri apabila dia menggayakan baju kebaya moden yang baru saja ditempahnya beberapa hari yang lalu.


Hari ini, dia akan menghadiri majlis perkahwinan kakaknya di kampung. Lagu nyanyian Saloma yang berkumandang di radio segera menarik perhatiannya. Dia turut menyanyi mengikut rentak lagu tersebut. Atikah memang suka menyanyi. Sebut saja nama Atikah di kampung, pasti suaranya yang merdu dan menawan itu akan terngiang-ngiang di telinga para teruna yang telah terdengar akan suara itu. Suara yang mendapat sambutan hangat setiap kali ia "dijual". Tidak ubah seperti pisang goreng yang dijual di gerai-gerai di tepi jalan. Begitulah "lakunya" suara Atikah yang turut menjadi igauan gadis-gadis sebayanya di kampung.



*******************************************************************

Kehadiran Atikah segera menarik perhatian setiap mata yang tadinya tertumpu kepada bakal"raja sehari". Atikah tampak lebih cantik daripadanya kakaknya sendiri. Tempat pengantin perempuan pada hari itu sudah selayaknya dia gantikan sahaja. Dia begitu cantik. Ditambah pula dengan suaranya yang memikat kalbu. Tidak ubah bagai bidadari yang turun dari kayangan. Begitu mempesonakan.


Perhatian kini tertumpu sepenuhnya kepada gadis Melayu yang sedang mengalunkan lagu"Selamat Pengantin Baru" di atas pentas yang telah dihias gah itu. Suaranya dialunkan sesuai lenggokan badan yang membutakan setiap mata yang memandang. Ramai pemuda kampung sudah hampir hilang "sabar" apabila terlihat akan susuk yang dilenggang-lenggokkan sesuai mengikut rentak lagu.


Atikah merasa puas apabila tepukan gemuruh diberikan selesai saja dia menyanyikan lagu tersebut. Kalau diikutkan hati, ingin saja dia menyanyi sepanjang tempoh majlis itu berlangsung. Namun, dia tidak mungkin semudah-mudahnya "menjual" suaranya dengan harga semurah itu. Dia ingin penduduk kampung sendiri yang mencarinya. Dia ingin mereka mabuk rindu kerana terlalu ingin mendengar suaranya. Begitulah "mahalnya" suara Atikah.



*******************************************************************

Sejak dari kecil lagi, Atikah dan kakaknya hidup sebatang kara. Pemergian ibu serta ayah tercinta telah menjadikan hidup mereka berdua bagai rumput di tepi jalan. Pada ketika itu, tidak ada sesiapapun yang sanggup membantu mereka berdua. Hidup melarat dan merempat sehinggalah pada suatu hari apabila Atikah mula menyanyi di kelab-kelab dangdut bagi menanggung hidupnya serta kakak tercinta. Sejak dari hari itu, nama Atikah mula dikenali ramai. Bukan senang untuk mencari seorang penyanyi yang cukup "pakej". Bak kata orang kampung " Rupa ada, suara pun ada. Two in one. Memang sempurnalah!"

Tetapi, segala-galanya berubah apabila Atikah berpindah ke bandar. Baginya, hidup di kampung terlalu merugikan. Orang yang cantik dan berbakat sepertinya tidak patut disimpan saja di kampung itu. Oleh itu, dia berpindah ke bandar untuk mencuba nasibnya di sana. Mencari kerja di bandar agak sukar kerana bukan seorang sahaja gadis cantik yang mempunyai suara sepertinya.


Di bandar, ada ramai perempuan sepertinya. Malah, lebih cantik dan lebih berbakat daripadanya. Oleh itu, Atikah sudah cukup berpuas hati andai ada hotel-hotel yang sanggup memanggilnya untuk menyanyi pada malam-malam yang istimewa. Tidak kurang juga kelab-kelab ekslusif yang ingin mengupah Atikah. Upah yang dia dapat daripada "menjual suaranya"di tempat-tempat seperti itu sudah cukup untuk membuatkan dia hidup bagai permaisuri di bandar.

*******************************************************************

Duduk seminggu di kampung sudah cukup untuk membuatkan Atikah berasa lemas. Lemas dengan suasana kampung yang serba kekurangan. Lemas dengan pemuda-pemuda di kampung yang asyik mengganggunya. Lemas dengan keadaan rumah kakaknya yang panas dan sempit. Dia ingin segera pulang, namun tidak pula dia sanggup meninggalkan kakaknya seorang diri menghadapi hari-hari awalnya sebagai isteri orang. Biarlah dia mengalah dengan egonya dan duduk di kampung untuk seminggu lagi.

***********************************************************************

Cahaya mentari yang terik serta menghangatkan memaksa Atikah keluar untuk mencari tempat yang lebih sejuk dan selesa. Atikah segera melangkah keluar. Agak perlahan langkahnya. Dilihatnya satu-persatu rumah yang telah terbina sekian lama di kampung itu.


Semuanya masih cantik dan setiap satunya mempunyai nilai estetika yang tersendiri. Hanya itu sajalah yang menarik perhatiannya di kampung. Rumah-rumah orang kampung yang kebanyakannya masih mengekalkan rekaan serta tradisi lama.


Masih dia teringat bagaimana dahulu dia dan kakaknya juga punya rumah seperti itu. Rumah kecil, tetapi penuh kehangatan dan kasih sayang. Rumah kecil yang sentiasa dipenuhi dengan gelak tawa dia dan ibunya. Rumah kecil tempat dia dan kakaknya diasuh serta dibesarkan.


Tetapi, semuanya itu tidak kekal lama. Kemalangan ngeri yang telah meragut nyawa ayah serta ibu tercinta meninggalkan dia dan kakaknya dengan seribu kepayahan sehingga rumah itu akhirnya terpaksa dijual untuk menampung hidup mereka berdua. Setelah itu, mereka menumpang kasih di rumah mak ciknya yang juga tinggal di kampung itu. Sehinggalah dia berpindah ke bandar dan kakaknya kini pula sudah berumah tangga.


Tiba-tiba, matanya tertancap ke arah suatu susuk yang amat menarik. Sangat cantik sehingga seorang perempuan sepertinya pun boleh tertawan. Inikan pula lelaki. Susuk yang sedang termenung sendiri di bawah pohon rendang itu didekatinya. Rasanya, wanita muda itu hanya beberapa tahun sahaja tua darinya.


" Assalamualaikum, Kak....", sopan sekali Atikah menegur wanita cantik yang kelihatan begitu tenang itu.

Wanita itu memandangnya sekilas lalu tersenyum. Manis. Manis sekali senyuman itu.


" Suaranya pasti lebih manis daripada itu.", itulah tanggapan Atikah pada kali pertama dia melihat wanita itu.


Wanita itu masih tersenyum. Pandangannya kini ditumpukan sepenuhnya kepada langit Ilahi yang terbentang luas di depan matanya. Langit itu ditenung sejenak. Kemudian kedua-dua telapak tangannya diangkat dan ditadahkan menghadap langit yang luas itu. Ada rintihan kecil datang daripada wanita tersebut. Diiringi linangan air mata yang semakin hebat bercucuran. Kemudian, wanita tersebut menjadi semakin tidak terkawal. Kakinya dihentak-hentak kemudian dia bersujud di atas tanah. dicium-ciumnya bumi tempat sujudnya itu.


Atikah yang sedari tadi duduk di sisi wanita itu segera angkat kaki. Dia tidak mahu lagi berlama-lamaan di situ. Perihal wanita itu sungguh menakutkannya. Tidak ubah seperti orang-orang gila yang dia jumpa di bandar. Kadang-kadang tersenyum sendiri. Kadang-kadang menangis tidak tentu hala. Ada pula waktu-waktunya mereka mengganggu orang lain yang lalu-lalang di kawasan tersebut.


" Gila agaknya perempuan ni. Takda angin, takda ribut, tiba-tiba saja menangis. Menakutkan betul! Dekat kampung yang tenang macam ni pun ada jugak orang gila rupanya....", Atikah terus-menerus merungut di dalam hati. Boleh trauma kalau dia masih lagi mahu duduk di tempat itu sambil melayan kerenah perempuan yang menakutkan itu.



*******************************************************************

" Kak, tadi Ika keluar jalan-jalan keliling kampung. Ika jumpa seorang perempuan ni. Cantik orangnya, Kak. Baya-baya akak jugak. Tapi, dia.....dia macam tak betul je...", Atikah yang lebih selesa dengan panggilan Ika segera mengkhabarkan kepada kakaknya mengenai kejadian yang menimpanya hari itu.

" Owh. Rumah dekat hujung kampung itu ke? Isma. Isma namanya. Dia dulu pun macam kau. Pandai menyanyi. Orangnya pun memang sudah cantik. Banyak sekali pemuda kampung ini yang ingin mengambilnya sebagai isteri. Tetapi, semua ditolaknya....", sambil bercerita, kakaknya masih terus melipat baju yang sudah berlonggok di hadapannya. Atikah mendengar dengan penuh teliti. Dia masih menunggu untuk cerita yang selanjutnya.

" Kau tahu-tahulah kan... Perempuan cantik macam tu, mana mungkin nak berdampingan dengan lelaki yang miskin macam pemuda-pemuda dekat kampung ni. Semua pinangan yang datang dia tolak. Pinangan dari anak Tok Imam pun dia tolak tau", perhatiannya kini ditumpukan sepenuhnya kepada cerita yang bakal disampaikan. Kain baju yang dilipat tadi ditinggalkan seketika.



*******************************************************************

Imran. Imran anak Tok Imam. Imran yang memang terkenal dengan sifat sopan dan merendah diri. Pernah juga suatu ketika dahulu Atikah tergila-gila akan pemuda itu. Namun, perasaan itu cepat sahaja berlalu seiring waktu. Kini, citarasanya sudah jauh berubah. Dia lebih selesa bermesra-mesraan dengan anak-anak Datuk yang datang ke kelab-kelab di bandar untuk mendengar nyanyiannya.


Atikah memang pandai sekali "berlakon". Apa sahaja pekerjaannya di bandar, langsung tidak pernah diketahui oleh kakaknya. Satu-satunya yang diberitahu adalah dia menjadi penyanyi"part time" di hotel-hotel mewah. Kerja-kerja "part time" yang lain ada baiknya disembunyikan sahaja.


Begitulah pendapat Atikah. Dia tidak mahu kakaknya naik angin apabila mendapat tahu bahawa dia masih lagi menyanyi di kelab-kelab dangdut yang dipenuhi oleh lelaki-lelaki gatal yang penuh helah. Helah licik yang telah banyak menghancurkan gadis-gadis muda yang cantik seperti Atikah. Tetapi, tidak pula Atikah pernah takut dengan semua itu. Asalkan pandai berhati-hati, pasti tidak ada apa-apa akan berlaku. Atikah memang seorang yang "optimistik" sekali.



*************************************************************************

Sekali lagi wajah kakaknya ditatap. Dia tidak puas hati mendengar cerita yang masih tergantung. Kakaknya menarik nafas panjang seketika. Bagai orang yang hendak berenang lagaknya.


" Entah mengapa. Suatu hari, dia bangun dari tidur seperti biasa. Kau nak tahu apa terjadi? Suaranya. Suaranya sudah tiada. Maksud akak, hilang! Hilang macam itu saja. Ada yang cakap, dia jadi macam tu sebab terkena buatan orang. Almaklumlah, banyak yang berdendam dengannya. Satu, sebab dia cantik. Satu lagi, sebab pinangan budak-budak kampung ni banyak yang dia tolak.


Tapi, akak tak percayalah ada orang yang sanggup nak "buatkan" dia sampai jadi macam itu sekali. Kata orang-orang tua yang lain, itulah padahnya kalau suara tu "dijual" merata-rata". Tatkala itu juga, sebuah pandangan tajam diberikan kepada Atikah yang kelihatan sedikit terkejut.


" Ika.... Akak dah lama suruh kau berhenti menyanyi kan? Tapi, akak tak nampak seperti kau nak berhenti pun. Akak kahwin hari itu pun kau yang beria-ia nak menyanyi. Kau tahu kan , Ika? Suara ini seperti apa bagi kaum perempuan? Suara kita ni berharga Ika.

Aurat! Salah jadinya kalau dilenggok-lenggokkan sehingga menarik perhatian kaum lawan jenismu. Kau tengoklah sendiri apa dah jadi dengan Isma. Sejak dari hari itu dia terus jadi macam tu. Hari-hari tenung langit sambil menadah tangan. Lepas itu menangis-nangis dan merintih -rintih tak tentu hala. Akak tak tahulah dia tadah tangan nak minta ampun pada Allah atau nak minta suara dia dikembalikan.

Tapi, apa yang akak nak beritahu kau sekarang ni, hargailah anugerah yang ada pada kau ni. Bukan semua orang ada anugerah macam kau. Suara yang merdu dan menawan ni sepatutnya kauperdengarkan kepada orang yang layak sahaja. Tak lain, tak bukan, suami kau, Ika.

Akak tak larang kalau kau nak menyanyi waktu kau sorang-sorang dekat rumah ni. Biar akak yang dengar. Tapi, tolonglah berhenti, Ika. Tolonglah berhenti "menjual" suara kau dekat luar tu buat santapan lelaki-lelaki lain. Akak tahu, mungkin ini saja cara kau nak cari rezeki. Tapi, kalau dah salah caranya, rezeki yang kau dapat pun tak berkat. Tak berkat, Ika.

Akak tak nak kau dapat azab nanti kerana suara kau ni. Akak sayang kau Ika. Jangan sampai suara kau pun ditarik balik macam si Isma tu.......", perlahan sekali nada suara kakaknya. Dia cuba menasihati adiknya dengan cara yang penuh lembut dan berhikmah, agar mudah masuk di kepalanya nanti. Agar diingati dan disematkan terus di dalam hati.



*******************************************************************

Sudah 2 tahun berlalu. Ika tidak menyanyi lagi. Pakaian serta penampilannya kini pun sudah berubah sama sekali. Dia sudah bertaubat. Sejak mendengar kisah mengenai Isma, Ika menjadi takut sekali. Takut akan azab Allah nanti. Sungguh dia tidak mahu menerima balasan buruk seperti Isma.


Masih dia ingat dahulu bagaimana dia diserang demam panas dan batuk-batuk sehingga tidak dapat bersuara selama 3 hari. Hidupnya pada waktu itu sungguh tersiksa. Rasa seperti hendak meraung-raung.

Lihatlah. Untuk kehilangan suara selama 3 hari pun dia sudah tidak sanggup. Apalagi untuk kehilangan suaranya buat selama-lamanya seperti Isma. Pasti dia juga akan menjadi gila. Mugkin lebih teruk dari itu. Bila terlihat akan artis-artis yang menyanyi di televisyen, Atikah teringat akan dirinya.


Dahulu, dia juga seperti itu. Berpakaian serba cantik dan bergaya. Cuma, dia tidaklah pernah muncul di televisyen seperti artis-artis tersebut. Walaupun begitu, permintaan terhadap suara merdunya tidak kurang hebatnya.

Kadangkala, sehingga dia tidak sempat untuk menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. Jangankan 5 waktu, 1 waktu pun kadang-kadang tidak lepas. Begitulah sibuknya dia "menjual suara" sehingga dia lupa sama sekali pada Allah.


Belum lagi dihitung-hitung dosanya setiap kali dia cuba menggoda lelaki-lelaki kaya dengan suaranya yang manja dan lembut. Belum lagi dihitung-hitung panggilan telefon dia jawab dengan suara yang lembut dan manja. Apabila ditanya oleh teman serumah, "boyfriend"katanya. Ya, "boyfriend." Bercakap dengan 'boyfriend" mesti berlembut-lembut. Itu tanda sayang.


Teman serumah pula hanya mampu beristighfar panjang setiap kali terdengar akan suara-suara halus Atikah melayan lelaki-lelaki yang tidak putus-putus menghubunginya. Walau sehingga 3-4 pagi sekalipun. Berlinangan air matanya tatkala dia teringat akan dosa-dosanya yang lalu.



*******************************************************************

" Ika......" bisik suara itu di suatu malam yang tenang.


" Boleh nyanyi untuk Abang tak? Satu lagu saja. Ika ni..Kalau dalam tandas, rajin je meraung-raung dan bersenandung. Siap bersyair lagi Abang dengar. Tapi, dekat depan Abang, satu lagu pun tak pernah Ika nyanyi. Abang cemburu dengan tandas tu. Lain kali, kalau Ika masuk tandas, biar Abang teman je. Dapatlah juga menumpang kasih tandas tu untuk dengar suara Ika yang manis rupawan ni...."

Ika hanya tersenyum manis apabila mendengarkan lawak yang sungguh mencuit hatinya itu. Diberikan satu cubitan manja kepada susuk yang sedari tadi asyik membuat dia ketawa.


Imran terus-terusan membuat lawak. Senang hatinya melihat isteri tercinta tersenyum gembira. Ika yang datang hampir setiap hari ke masjid untuk belajar mengaji telah berjaya menarik hatinya. Ika yang selalu berjumpa ibunya untuk mempelajari perihal serta hukum-hukum agama terus dia ambil menjadi isterinya.


Kini, sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai suami untuk mendidik Ika. Dia sendiri yang akan membimbing Ika. Dia sendiri yang akan memimpin tangan Ika ketika mereka sama-sama menuju ke syurga nanti. Atikah, Wanita bersuara merdu yang kini dia sekat alunannya untuk diperdengarkan hanya kepada dia yang layak.



Friday, October 14, 2011

CERPEN : Diari Sebuah Persahabatan

entari senja kemerahan memancarkan sinar alam, angin kekeringan kontang tanpa siulan, dingin berhembus bak mentari sejengkal di awangan. Di satu sudut, kelihatan kelibat seseorang yang terduduk diam membisu, merenung jauh menghayati suasana senja Pulau Gaya di Kota Kinabalu Negeri Di Bawah Bayu. Sepoi-sepoi bahasa angin senja itu menyentuh tubuhnya, mengusap manja rambut Z. “Orang cakap, luka di tangan nampak darahnya mengalir, tapi luka di hati, tak siapa yang tahu” inilah kekalutan yang bermain ligat di minda Z seorang remaja berjiwa sentimental dan sensitif dengan kekalutan jiwa yang meronta kesakitan.


Z mengimbas kembali detik perkenalannya dengan seorang yang membahasakan dirinya sebagai R di satu sudut alam maya tatkala memanfaatkan teknologi di hujung jari tidak lama dahulu. Dari perkenalan sepintas lalu itu, wujud satu hubungan kekeluargaan yang rapat terjalin dalam satu ikatan persahabatn yang aman dan damai. “Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan lagi hubungan kekeluargaan” Inilah isi cerita dan derita Dalam Lipatan Diari Persahabatan kami, ada suka, ada duka, ada cerita ada derita.


Disebuah bilik maya itu “Ada orang sabah ka sini? Mari bah kita kenal-kenal kunun” mesej Z kepada umum di salur bual itu. Tidak berapa lama menunggu, “Aq orang sabah jugak ni kiranya, jadi geng kita?” Tindak balas dri “unknown user” masa itu. “Boleh bah kalau koe” Sahut Z kepada user tadi. Perkenalan dan persahabatan baru kini bermula.


Beberapa hari berlalu, masa memintas segalanya, yang dulunya “unknown user” kini bertaktha sebagai ahli keluarga. Hari-hari yang ku titip bak suram tanpa kabar berita darinya. Tanggal 11 bulan januari 2008 inilah tarikh keramat bagi permulaan cerita di alam realiti kami. Palm Square Centre Point Mall, disitulah titik pertemuan yang dijanjikan. “Berbaju merah, bermata empat, berjalan dengan senyuman manis seolah-olah orang ini kenal dengan ku, adakah ini dia?” Bisikku dalam hati. Tidak di sangka lagi, ligat ingatan ku megimbas kembali gambar-gambar segak bergayanya yang pernah dihantar padaku melalui pesanan multimedia. “sah, memang dia la ni” aku meyakinkan diri dengan kehadiran seorang insan berbaju merah didepan mataku.


Mulanya pertemuan tangan dihulur untuk berjabat mesra sebagai penghormatan sesama insan, bermula lah bicara dengan melangkah naik ke fun square mencari arah untuk di tuju, “amacam la viction di keningau? R bertanya padaku. “bah maw p mana kita ni?” tanyak ku pada R pula. “Aiya.. who’s da big bro here? Dia la tentukan” sahut R menjawab persolan ku sambil melihat boboy tersenyum kambing melihat gelagat kami.


Beberapa bulan berlalu, kebahagiaan persahabatan itu tetap terasa, tidak pernah lekang aku disisinya, kesana dan kemari mencari arah untuk mencari kebahagiaan bersama. Bergelak ketawa, tegur menegur sesama insan. Tapi ternyata masa begitu mencemburui persahabatan yang sedia terjalin ini, pejam celik setahun telah berlalu meninggalkan segalanya, kenangan demi kenangan di sulam bersama.


Friendster, di halaman inilah bermulanya derita yang membawa padah dan kehancuran diri sendiri, kenapa? Disinilah bermulanya konflik persaudaraan kami. Cerita ini bermula dengan pujukan R untuk membantu Zu menyelesaikan masalah Komputer Peribadi Zu, didalam bilik R, lain pula “bedtime story” nya. Kerana bedtime story inilah hati ku berubah, “sayu.. hanya kerana sifat ingin tahu itu, segalanya berubah, dunia kami makin suram, makin gelap dan gelita, ada masanya diri betul-betul tercabar untuk menghunus keris di jasad, putus asa” Z menghelah nafas panjang sambil merenung jauh ke dasar laut. Inilah situasi yang tergambar di wajah Z pada masa itu. “hancur hati ku berderai, luka parah jiwaku, mengapa? Mengapa? Wajib ka semua ini berlaku? Harus ka aku mati hanya kerana ini adalah aku yang sebenar? Apa kah aku yang sebenar menggangu aman dan lena tidur mu?” Keluh Z pada alam. Airmata terus mengalir, sedikit sebanyak kesal dengan perkenalan itu. “Bro, kalau nama ku telibat lagi, jaga kau!” ugutan inilah yang selalu mengiang-ngiang di telingaku hingga saat ini. Begitu cepat masa memintas waktu, kawan hampir jadi lawan. “Apakah salah aku berlayar dalam layar hidupku? Apakah salah atau berat untuk mu memekakkan telinga, membisukan mulut, membutakan mata untuk ku?” Z berkata dalam hati.


Airmata jantan itu terus mengalir dek mengenang nasib diri yang terumbang ambing bak telur di hujung tanduk. “Bukan aku takut dengan ugutan ini, tapi tolong lah, walaupun tidak ada benda yang mustahil, tapi jangan lah mengharap keajaiban itu berlaku, tak kan ada sesuatu yang berlaku tanpa sebab bah, tolonglah jujur walau sesaat, aku tak minta untuk aku di hormat, cukuplah aku hormat kat korang, it’s more than enough” jerit Z dalam hati. “Biarkanlah aku hidup macam ni, jangan halang journey to remember aku, biarlah aku stranger di mata mu, janji aku tak kacau hidup mu, cukuplah kau berdiri disisiku sebagai adik ku” Z terus menghelah nafa panjang sambil memerhati seluruh alam.

Masa terus berlalu, awan pun kian berarak mendung menjadi gelap gelita. Airmata terus berderai jatuh mengenangkan nasib diri yang malang. “kemana lagi aku ingin membawa diri? Dimana lagi syurgaku kini?” Z terus menitiskan airmata. Airmata sayu dan kepiluan. “kau ilmu ku, kau ilham ku, sekarang, hanya kerana setitik nila, ugutan kau hulurkan, aku tak mampu lagi mencantumkan cermin hati ini yang sudah retak di mamah keinginan mu, aku tak tahu lagi ingin berbuat apa, jika ku turutkan hati, ingin saja ku tamatkan derita ini dengan menghembuskan nafas terakhir, mungkin darah yang bakal mengalir tu akan membuatkan dirinya puas dari terus bermain kata. Seramai 16 orang unknown person yang cuba saiko hidupku, siapa? Untuk apa? Kenapa? Hanya dia dan Tuhan yang tahu, aku siapa untuk tahu semua tu, pendidikan hanya setakat spm yang kantoi, mana layak untuk semua tu.” Z terus mengeluh panjang.


Tidak berapa lama duduk termenung dengan linangan airmata, F dan E pun tiba untuk memujuk hati yang gundah gulana supaya bertenang. Aku terus membisu seribu kata, tak sanggup ku berkata apa lagi, aku cuba menenangkan hati, namun airmata ini juga yang menjadi saksi jiwa yang gelora di pukul badai, aku cuba mengagahi diri ku yang sebenar, aku terus membiarkan linangan airmata ini mengalir, aku bukan hipokrit untuk semua ni, tapi, aku punya sebab. ”Tak pernah aku rasa tercabar macam ni. Sampai hati adik sendiri ugut aku, kenapa perlu dia buat semua ni?” aku terus menangis walau F dan E ada disisi.


Akhirnya, aku tunduk juga pada takdir ku, aku gagahi kesedihan ini untuk melihat orang sekeliling ku tersenyum gembira, aku tak mau F & E turut merasa pahitnya hidup sebagai insan terbuang. Perhubungan yang telah berusia dua puluh lima bulan ini hancur dilanda tsunami yang memanggil gelora dan hiba itu, kasih sayang yang terjalin, hancur bak dipukul ombak yang membadai hanya kerana sifat ingin tahu yang mebuak gemalai. “bukan aku malu padamu, tapi aku belum bersedia untuk itu, kerana aku sendiri menganggap mu “syurgaku” engkau ilmu ku, engkau juga kotak muzik ku, tapi kini, aku terumbang ambing di himpit kekesalan yang tidak berbalas. Ego mu terus memuncak, terus lah bercerita tentang ku di hujung bibir mu, aku tahu aku tidak punya apa yang kau punya, dan aku juga tidak minta untuk ada semua tu, terima kasih kerana membenci diri ini setelah kau tahu siapa aku di balik bayang-bayang impian, Cuma pesan ku, lunturkan ego mu, hancurkan prasangka mu, walaupun kita tahu, bukan senang ingin mencantumkan cermin-cermin persahabatan kita yang sudah retak dan hancur berkecai ini.” Hati Z bebisik sayu.


“Ingin aku membenci dirimu, tapi kebencian tiada pada diriku” bak bait-bait lagu aleycats, inilah apa yang tersurat dan tersemat di hati nurani Z. Semalaman bergelut dengan perasaan hiba dan pilu, akhirnya Z bangkit dari sejarah semalam, lupakan yang telah berlalu, “just leave the past” inilah prinsip yang Z pegang. Alhamdulillah, Z masih mampu tersenyum manis.



Journey To Remember diteruskan, dengan azam just leave the past. “Biar aku hina, janji aku tak kacau hidup orang lain, biar aku di benci, janji aku tak sakitkan hati orang. Buat mu R, terima kasih kerana sudi membuatkan airmata ini mengalir lesu membasahi pipi dihadapan adik-adik yang lain, ku hargai sangat pengorbanan mu bersusah payah untuk membuat airmata ini jatuh.” Keluh Z untuk menenangkan diri. Kenangan semalam biarlah berlalu di bawa angin, kenangan hari ini adalah masa hadapan. Teruskan perjalanan mencari An-Nur.



Saturday, October 8, 2011

CERPEN : Mana Mak ? [before bace , sila sediakan tisu]

Mana Mak?'


Jam 6.30 petang.


Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.


Ayah baru balik dari sawah.


Ayah tanya Mak, “Along mana?’


Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”


Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”


Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”


Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”


Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”


Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”


Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”


Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.


Dua puluh tahun kemudian


Jam 6.30 petang


Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.


Ayah tanya Along, “Mana Mak?”


Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”


Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”


Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”


Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”


Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.


Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"


Ateh menjawab, “Entah.”


Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.


Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”


Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.


Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.


Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.


Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"


Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”


Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.


Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.


Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.


Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"


Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .


Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.


Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.


Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.


Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.


Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.


Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.


Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."


Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.


Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.


Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.


Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.


Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.


Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.


Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.


Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."


Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.


Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”


Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.


Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak



Beberapa tahun kemudian


Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.


Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”


Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.


Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.


Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.


Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.


Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.


Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..


Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.


Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,


"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.


Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "


Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."


"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..


Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"


Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.



Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...