As-Salam.
Facebook - laman sosial yang merevolusikan cara kita berkomunikasi, cara kita bergaul, cara kita mencari kawan. Sememangnya pada awal penciptaannya, ia dianggap satu kelebihan di mana ia memudahkan perhubungan antara rakan kolej dalam bidang yang sama; begitulah menurut pengasasnya.
Namun, sejak kebelakangan ini, laman sosial yang punyai ratus juta pengguna di seluruh dunia ini semakin disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Dan ia bukan sahaja mengundang pelbagai perkara negatif tetapi juga membiakkan kegiatan jenayah.
Dan lebih teruk lagi, menurut Ustaz Zaharuddin, ia sebenarnya membiakkan dosa yang tanpa kita sedar kita sedang melakukannya.
Antara perkara yang ditegaskan oleh Ustaz Zaharuddin, tentang Dosa Bersarang di Facebook:
- Mendedahkan keaiban suami atau isteri: Meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci dan marah terhadap pasangan masing-masing melalui status mereka. Sememangnya bukan tujuan mengaibkan atau menjatuhkan maruah, sekadar melepaskan tekanan diri, namun tanpa disedari ini juga tergolong dalam kategori mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Kenyataan seperti itu menjelmakan maksud tersirat bahawa pasangan tersebut sedang berperang dingin, lantas tercetuslah idea bahawa berlaku kekurangan pada salah seorang daripada mereka.
- Terlebih gambar: Sememangnya fitrah wanita inginkan pujian dan perhatian. Maka berlambak-lambaklah gambar dimuat naik dengan pelbagai gaya, aksi dan fesyen. Yang menjadi bahayanya pabila menjadi tatapan ramai lelaki yang kemudiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda dan membuat lamaran “nafsu. Wanita menjadi pameran lelaki umum? Dosa jawabnya.
- Penyamaran: Terdapat lelaki yang menyamar sebagai wanita untuk menjadi “friend”, lantas mendapatkan maklumat dan gambar yang dikhaskan akses untuk rakan wanita sahaja. Si wanita yang pada asalnya berasa selamat, rupa-rupanya telah mendedahkan gambar kepda orang yang tidak sepatutnya. Jadi, pastikan gambar anda masih terhad dan terjaga.
- Muat turun gambar untuk simpanan dan tatapan: Kerana mudahnya mengakses gambar sesorang, lelaki berhati buas memuat turun gambar tersebut untuk disimpan sebagai koleksi peribadinya. Banyak wanita menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian, tanpa disedari berkongsi saham dosa dengan lelaki seperti itu. Dosa mendedahkan aurat serta maruah wanita. Simpan sahaja gambar cantik molek untuk tatapan suami yang sah, dan tunggulah pujian para malaikat dan bidadari syurga nanti.
- “Tagging” tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat: Terdapat “trend” memuat naik dan menyebarkan gambar-gambar lama yang tidak menutup aurat melalui “tagging” tetapi kini telah pun menutup aurat. Justeru penyebarannya adalah haram. Gambar yang menutup aurat tetapi dalam keadaan yang mengaibkan juga mengundang dosa kerana menyebarkan keaiban orang lain.
- Mengutuk diri sendiri dan kebaikan diri: Ada juga mereka yang dahulunya di waktu sekolah ataupun universiti berpenampilan cukup solehah and “extra caution” dengan aurat, namun kini telah berubah fesyennya yang lebih berani. Apabila tersiar gambar-gambar “extra caution” itu mereka secara tak sedar mengutuk diri sendiri dengan kata-kata “zaman solehah”, “zaman innocent”, “zaman suci” dan sebagainya. Adakah sekarang anda sudah tidak suci? Adakah anda sekarang sudah tidak solehah? Anda yang mengutuk diri anda sendiri.
Sekadar buat renungan dan peringatan buat diri, dan mungkin juga buat anda, pembaca yang dihormati.
No comments:
Post a Comment